Jom Join PKR

Jom Join PKR
Jadi Ahli

SEMAKAN DAFTAR PENGUNDI

SEMAKAN DAFTAR PENGUNDI
Jika Belum Hubungi Kami

Daftar Pemilih

Daftar Pemilih

Thursday, November 27, 2008

UMNO Gagal Serang Pakatan Rakyat Di Selangor

Isu arak, judi dan kandang babi mula diberi perhatian oleh UMNO terutamanya selepas mereka gagal berdepan dengan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat di dalam isu-isu lain yang lebih besar. Mengapa isu ini dimainkan? Ini adalah kerana untuk mendapatkan perhatian orang-orang Melayu yang berugama Islam kononnya UMNO amat `benci' kepada arak, judi dan babi serta untuk menggambarkan bahawa UMNO itu lebih Islamik. Seperti juga mereka memainkan isu ketuanan Melayu dan Bahasa Melayu, adalah semata-mata untuk menunjukkan tanpa adanya UMNO di muka bumi ini, maka hilanglah Melayu. Samalah juga kita beranggapan, tiadanya UMNO maka tiadalah Akta ISA.

Di Selangor isu kandang babi adalah isu pertama mereka selepas Selangor diambil alih oleh PR. Seolah-olah babi mula beranak dan membiak sejurus sahaja PR mengambil alih Kerajaan Selangor. Atas kebijaksanaan MB Selangor dan kepimpinan PR di Selangor, isu ini menjadi bahan jenaka rakyat di Selangor. UMNO sebenarnya cuba untuk mencari isu lain seperti rasuah, penyelewengan atau ketidaktelusan Kerajaan Selangor, tetapi mereka gagal kerana Kerajaan Selangor di bawah PR jauh berbeza dengan corak pemerintahan mereka dahulu. Kewibawaan MB Selangor yang tegas membasmi rasuah dan salah laku tanpa mengira siapa hatta pegawai di pejabatnya sendiri, menjadikan UMNO `mati kutu' dan hilang modal di Selangor.

Terbaru timbul pula isu arak di Selangor. Media arus perdana mengambil kesempatan di atas isu ini kerana mereka melihat isu ini menjadi perdebatan di kalangan pimpinan parti di dalam PR sendiri. Media menggambarkan PAS seolah-olah tidak mahu arak dijual berleluasa di Selangor, manakala DAP dan PKR hanya mahu agar penjualan arak di Selangor dikawal sahaja. Media turut menggambarkan bahawa PAS punyai strategi tersendiri untuk menyekat penjualan arak di Selangor. Ada kesannya juga propaganda media ini, di mana terdapat beberapa pihak di dalam PR tidak senang dengan cara PAS sedemikian. Tetapi, apabila MB Selangor sendiri membuat kenyataan selepas Mesyuarat Exco yang turut dihadiri oleh wakil-wakil dari semua parti Pakatan Rakyat di Selangor, maka propaganda media ini terhenti setakat itu. Kebijaksanaan MB Selangor bertindak pantas `membunuh' serangan media yang membawa virus yang lebih bahaya dari `Virus JE' ini harus dipuji.

Rakyat di Selangor sebenarnya memahami bahawa isu arak, judi dan penternakan babi yang sering dibawa oleh UMNO terutamanya adalah semata-mata untuk memburukkan Kerajaan PR di Selangor. Jika ditanya balik kepada mereka, siapakah yang mengeluarkan lesen meluluskan kilang arak dan judi di negara ini, pemimpin-pemimpin UMNO akan terkelu lidah untuk menjawab. Di dalam isu babi, tercatat sejarah hitam di Negeri Sembilan iaitu di Bukit Pelandok, Port Dickson di mana Virus JE telah membunuh beberapa orang akibat penternakan babi yang tidak terkawal. Ketika itu, Kerajaan Negeri Sembilan diperintah oleh siapa? Isu judi yang ditimbulkan di Negeri Selangor pula seolah-olah Selangor mengatasi Genting Highland di Pahang di dalam mewujudkan pusat judi terbesar. Adakah Pahang diperintah oleh PAS? Seandainya Pahang diperintah oleh PAS, belum tentu PAS dapat menghapuskan pusat judi tersebut kerana lesen perjudian dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat.

Suka saya menyarankan agar UMNO sekiranya ikhlas untuk menghapuskan arak atau judi di dalam negara ini, mereka seharusnya berani mengusulkan di Parlimen atau di dalam Mesyuarat Kabinet agar kerajaan tidak mengeluarkan lesen judi dan arak. Sekiranya usaha mereka gagal, mereka harus keluar dari UMNO dan mencuba nasib mereka di dalam PR untuk membantu PR menjadi kerajaan. Saya yakin, di dalam Parti-Parti PR yang terdiri dari PKR, PAS dan DAP kesemuanya bersetuju bahawa arak dan judi itu lebih banyak mendatangkan keburukan dari kebaikan. Buat masa sekarang, PR belum berkuasa di peringkat pusat, maka adalah lebih baik Pemimpin PR menjalankan kempen besar-besaran di kalangan rakyat agar membenci judi dan arak. Letakkan keburukan judi dan arak ini setaraf dengan keburukan amalan rasuah di dalam pentadbiran semua kerajaan negeri di bawah PR.

Wednesday, November 19, 2008

Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat “Harapan Baru”

Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat(KeADILan) akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 29-30 November 2008.

Kongres KeADILan yang pertama selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu ini akan menyaksikan kehadiran wakil-wakil rakyat yang paling ramai sejak penubuhan parti 10 tahun yang lalu.

Kongres Nasional tahun ini telah diberikan tema “Harapan Baru” atas kesedaran ada perlunya untuk mentransformasikan kuasa rakyat yang disaksikan dalam pilihanraya umum lepas kepada kuasa perubahan yang jitu ke arah Malaysia yang adil dan demokrasi.

Kongres yang juga pertama kali diadakan sejak Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang ini bertujuan untuk membuka ruang kepada para perwakilan untuk membahaskan dasar perjuangan parti secara umum, dan polisi pentadbiran negeri Pakatan Rakyat secara khususnya.

Kedua-dua sayap penting parti yakni Angkatan Muda dan Wanita pula akan mengadakan kongres masing-masing secara berasingan pada 28 November.

Kongres Nasional kedua-dua sayap ini akan dirasmikan bersama oleh Timbalan Presiden KeADILan Dr Syed Husin Ali di Stadium Malawati. Selepas perasmian, Angkatan Muda akan terus bersidang di Stadium Malawati, manakala Wanita akan bersidang di Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.

MPD Semenyih akan menghantar 25 pemerhati ke Kongres Nasional tahun ini yang akan dimeriahkan lagi dengan “Karnival Rakyat”.

Orang awam dijemput untuk mengunjungi “Karnival Rakyat” yang terbuka sepanjang kongres bersidang dan mendengar pidato umum pimpinan parti khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam 29 November di Stadium Malawati.

Berminat Sebagai Pemerhati
Hubungi
BIRO PENERANGAN MPD Semenyih (017-2682454)

Ingatan Untuk Diriku Yang Alpa

Sesungguhnya kita sering lupa siapa diri kita. Hujan yang turun, panas yang memancar, mendung yang berarak, pertukaran malam dan siang, pergerakan bulan dan bintang, berputarnya bumi dan alam ini, itulah teknologi canggih yang dicipta oleh Allah swt, terpahat sudah kenyataan ini di dalam al-Qur'an, tiada seorang manusia pun yang mengaku Islam, menolaknya.

Dari al-Qur'an yang sama, juga terpahat ayat-ayat muhkamat.. Namun mengapakah umat Islam yang mengakui kebesaran Allah seperti di atas, sekelip mata berubah dan menjalani kehidupan dan siasah tanpa mengikut hukum al-Qur'an?.. Mengapa percaya pada sebahagian dan meninggalkan sebahagian? Adakah umat Islam sendiri meragui dan mengatakan bahawa al-Qur'an tidak cukup maju untuk menangani masalah globalisasi di zaman langit terbuka ini?

Ingatlah teman... inilah fokus utama perjuangan.. al-Qur'an dan Sunnah sebagai Dustur kita... Janganlah leka atau terlalu diganggu dengan mehnah dan tribulasi kehidupan.. sehingga nanti kita melupai tarbiyyah, hilang semangat lantas setelah beberapa lama terjerumus menjadi golongan seperti yang disebut oleh Ust Fathi Yakan iaitu golongan yang gugur di sepanjang jalan da'wah..

Wa nauzubillah... Fikir-fikirkanlah...!

Tuesday, November 18, 2008

Program"Treasure Hunt" DUN Semenyih

16 November, 2008
Semenyih, Selangor

Program anjuran Pusat Khidmat Komuniti DUN Semenyih ini mendapat sambutan menggalakkan. Kembara ke seluruh Hulu Langat telah di rasmikan oleh YB Cikgu Lee ADUN Kajang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Dun Semenyih, tepat jam 9.00 pagi.

Upacara penutup dan penyampaian hadiah di sempurnakan oleh YB Dr.Che Rosli Che Mat, Ahli Parlimen Hulu Langat. Sdr. Mohd Ali Hanapiah, Ahli Majlis MPKj juga turut hadir menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.












Wednesday, November 12, 2008

Agama dan Politik - ( inti daripada buku ‘ad din wa as siasah’ oleh al qaradhawi )

Inilah tabiat ideologi perubahan seluruhnya. Maka mengapakah pula Islam dituntut - sedang ia adalah satu risalah yang menyeluruh - menghadkan kerjanya setakat menjaga masjid dan mahkamah syariah sahaja? Bahkan mungkin sehaja masjid dan mahkamah syariah pun akan dipaksa mengikut telunjuk golongan sekular ini ( seperti di negara kita )?

Agama Masihi sendiri yang mengatakan, ” Biarkan hak raja itu untuk raja dan biarkan hak Allah itu untuk Allah” pun apabila memiliki kuasa dan peluang, mereka tidak pula menyerahkan kuasa itu kepada raja, bahkan merekalah yang memegangnya dan menentukan arah kehidupan seluruhnya berdasarkan apa yang mereka imani.

Jika begitulah Masihi, bagaimana pula dengan Islam yang tidak pernah memisahkan antara jasad dan ruh dan tidak pula memisahkan hak di antara raja dan Allah, bahkan menjadikan raja dan hak raja sebagai hak Allah belaka.

Firman Allah: ” Apakah mereka menuntut hukum jahiliyah? Siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah, bagi orang - orang yang yakin.” - al Maidah:50


Berkata al Ustaz Doktor Muhammad al Bahiy ( al Fikr al Islami al Hadith.. ) ketika mengkritik pendapat Doktor Ali al Raziq dalam bukunya ( al Islam wa Usulul Hukm ) yang menyarankan pemisahan antara ugama dan negara:

( Jawaban beliau adalah berasaskan pemikiran kurun pertengahan yang memisahkan antara fizikal dan rohani penciptaan manusia. Itulah pemikiran yang menerajui orang Eropah masa itu yang akhirnya mendorong kepada pemisahan antara negara dan gereja./

Pemikiran pemisahan ini adalah sama dengan pemikiran golongan falsafah Islam atau Masehi di zaman kurun pertengahan yang mereka warisi daripada pemikiran falsafah lama/Yunan dalam isu ketuhanan dan kemanusiaan./

Pemikiran pemisahan antara ruh dan jasmani manusia di sisi ilmu kajian ilmiah moden hari ini adalah pandangan yang tidak lagi boleh diterima akal yang sihat. Manusia dalam kajian ilmiah hari ini adalah satu, tak boleh dijuzu’ - juzu’kan. Paling terjamin, ia mestilah dipimpin oleh satu qiadah/ kepimpinan./

Pengalaman pembahagian kuasa antara kerajaan dan gereja dulu tidak hanya mencetuskan perselisihan antara keduanya, bahkan telah mengakibatkan salah satu akan menundukkan yang satu lagi. Dan pastinya negaralah yang akan menundukkan gereja dengan kekuatan mereka menguasai massa./

Walaupun pemikiran jenis ini telah terbukti salah di sisi kajian ilmiah dan juga pelaksanaan amali, para penyeru kepada pemikiran ini daripada kalangan pemikir Islam masih terus menganggap ‘penyatuan’ pada manusia dan kepimpinan sebagai mundur! Ini semata - mata kerana ia bersumber daripada pemikiran asas Islam! )

Kepentingan wujudnya sebuah negara untuk menjayakan matlamat:

Ini faktor amali yang tidak boleh diingkari lagi, bahawa manusia sejak dulu telah mengetahui keperluan wujudnya sebuah negara atau kuasa politik ( kerajaaan ) untuk menjayakan matlamat tertentu, melaksanakan undang - undang, mengajar dan memelihara ummah daripada kerosakan. Kerana itulah, Khalifah ketiga, Uthman bin Affan telah berkata, ” Sesungguhnya Allah akan mencabut dengan kuasa apa yang tidak boleh dicabut dengan al Quran.” - ( al Bidayah wa an Nihayah )

Apatah di zaman moden ini, sebuah negara itu memegang tampuk seluruh aspek kehidupan di tangannya, suatu yang tidak mungkin dikuasai sepenuhnya oleh mana - mana kerajaan zaman lampau. Mereka menguasai undang - undang, kebudayaan, masyarakat, ekonomi dan lain - lain. Ini adalah antara ciri istimewa kerajaan moden hari ini.

Justeru mana mungkin golongan dakwah dan islah boleh membiarkan negara dikuasai oleh golongan sekular untuk melakukan apa sahaja termasuk dengan senangnya ( kerana mereka memiliki kuasa negara ) meruntuhkan kebaikan dan kebajikan yang telah dibina oleh golongan dakwah dan islah tersebut. Meruntuh pula lebih senang daripada membina.

Sesungguhnya daulah Islam kita dahulu yang diperintah oleh seorang khalifah tertinggi tidaklah mampu menguasai seluruh aspek kehidupan rakyatnya, bahkan kuasanya hanya terhad dalam menguasai bandar dan kota - kota besar sahaja. Adapun ummah di luar seluruhnya , kehidupan mereka dikuasai oleh Islam yang diketuai sebahagian besarnya oleh para ulama.


Pendidikan mereka dikuasai ulama dengan mengajarkan mereka Islam, bahasa, adab, sejarah dan apa sahaja yang mereka mahu.

Undang - undang juga di tangan ulama dengan melaksanakan hukum - hukum ke atas mereka.

Demikian juga urusan fatwa sebagai rujukan dan urusan waqaf dan kebajikan, semuanya dikuasai oleh para ulama yang mengurus politik rakyat setempat ( tanpa gangguan dan tekanan khalifah ).

Ummah tetap berpegang dengan ugamanya saat pemerintah dan negara menyeleweng daripada ugama, bahkan ummah juga terus tetap dengan ugamanya saat negara khalifah rebah dan tewas. Ia terus gagah dengan institusinya itu saat negara khilafah dirundung keruntuhan dan kelemahan.

Tetapi di zaman moden hari ini, kekuatan ummah itu telah beralih dan dikuaai sepenuhnya oleh kerajaan dan negara. Negaralah yang meguasai undang - undang, pendidikan, kesihatan, ketenteraan dan seluruhnya.

Justeru bagaimanakah para pendakwah dan pengislah boleh melaksanakan islah dan pembaikan di saat pemerintah bergerak dari arah yang bertentangan? Kita menghidupkan dan mereka mematikannya, kita mengumpul dan mereka memecahkannya pula?

Bayangkan kita hanyalah rakyat, sedang mereka adalah kuasa!

Inilah sebenarnya yang menjadikan para pengislah dan pengasas gerakan - gerakan Islam terpaksa menempuh peperangan politik dan mereka menuntut islam dengan jalan menegakkan daulah Islamiyah yang akan menjayakan firman Allah:

” Dan orang - orang yang jika kami kurniakan mereka kekuasaan di bumi ini, mereka pasti mendirikan solat, menunaikan zakat, menyeru kepada al makruf dan menahan daripada kemungkaran.” - al Hajj:41

Tiadalah perlu mereka sendiri yang memegang kuasa itu jika mereka telah mendapati orang lain mampu memerintah dengan rukun dan syarat Islam tersebut. Jika pemerintah kini melaksanakan Islam, alangkah eloknya di sisi mereka.

Jika mereka enggan atau tidak bersedia, maka menjadi kewajiban ke atas para pendakwah dan pengislah untuk bangun melaksanakan tuntutan itu. Awalnya hendaklah mereka menyediakan modal insan, jentera fizikal dan ransangan sosial yang akan membantu menjayakan matlamat ( negara Islam ). Ia tak selesai dengan hanya berangan -angan dan berbuih kata.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Memperbaharui Tekad Menggalas Perjuangan

Memperbaharui Tekad Menggalas Perjuangan

Ucapkan

Ucapkan